Kebiasaannya anak-anak lebih mudah rapat dengan ibu berbanding bapa. Mungkin juga kerana ibu kita seorang surirumah jadi kita mempunyai lebih masa bersamanya. Atau mungkin juga anak-anak lebih selesa berkongsi masalah dengan ibu atas fitrah seorang wanita yang lebih penyayang berbanding lelaki.
Namun begitu, sebagai anak kadang-kadang kita tidak menyedari bahawa bapa kita mungkin terasa jauh hati dengan anak-anak disebabkan hal-hal di atas. Lama-kelamaan hubungan kasih sayang juga akan renggang.
Oleh itu, hari ini kami nak berikan anda beberapa idea tentang aktiviti yang boleh anda lakukan bersama bapa anda agar dia juga merasakan dirinya disayangi oleh anak-anak.
- Luangkan masa bersenam bersama bapa anda. Tidak perlu terlalu extreme, jalan kaki di taman juga sudah memadai.
- Bantu bapa anda berkebun dan menemaninya bertukang di rumah.
- Ajak bapa anda ke shopping complex dan belikan baju atau keperluan dirinya.
- Sesekali boleh juga ajak satu keluarga bercuti atau berkelah.
- Memasak.
Jadi pilihlah mana-mana aktiviti ini mengikut kesesuaian bajet dan minat bapa anda. Kalau anda pilih untuk enjoy di dapur, di sini kami kongsikan satu resipi baru yang mungkin anda dan bapa anda boleh cuba.
Asam Pedas Bebola Ketam
Bahan-bahan :-
- ½ kg Ketam dan ½ Bebola Ketam
Bahan yang perlu dikisar hingga halus :-
- 10 tangkai cili merah
- 10 tangkai cili padi
- 2 ulas bawang putih
- 1 inci kunyit hidup
- 2 labu bawang besar
- 1 sudu kecil lada hitam
- ½ inci belacan
Bahan lain yang diperlukan :-
- 1 kuntum bunga kantan
- 5 biji belimbing buluh
- Beberapa keeping daun kesum
- ½ biji bawang besar yang siap dihiris
- 2 batang serai yang siap diketuk
- 3 cawan air
- Garam dan gula secukup rasa
- Minyak masak hanya untuk menumis
Cara Penyediaan :-
- Tumis bawang yang siap dihiris hingga layu dan berbau harum.
- Masukkan bahan yang siap dikisar bersama serai dan daun kesum, gaulkan hingga pecah minyak
- Masukkan ketam bersama air dan masukkan belimbing buluh, bunga kantan, garam dan gula.
- Tunggu hingga kuah mendidih dan masukkan bebola ketam, masakan siap untuk dihidangkan.
Sajian untuk 4-5 orang dan anggaran masa 30 minit untuk masakan. Selamat mencuba.